Menurut Dr. Zulkarnain Type 2 Diabetes Mellitus (dan juga gestational diabetes) mempunyai hubung kait dengan faktor keturunan di mana anak-anak pesakit mempunyai risiko yang lebih besar untuk menghidapi kencing manis semasa dewasa. Lazimnya, Type 2 Diabetes Mellitus lebih kerap dihadapi oleh mereka yang berusia lebih 40 tahun. Sementara golongan remaja dan individu berusia 20-an terdedah dengan Type1.

“Bagi wanita hamil yang mengalami Gestational Diabetes Mellitus perlu mengawal paras gula dalam darah dan perlu sentiasa berada dalam pemantauan doktor pakar. Rawatan susulan mesti dibuat dengan doktor pakar. Kencing manis semasa penghamilan boleh menyebabkan kesan-kesan negatif kepada kandungan seperti kematian fetus (intra uterine death), bayi besar (macrsomia), air ketuban yang banyak (polyhydramnion), kelahiran preterm dan respiratory distress syndrome. Untuk penghidap Gestational Diabetes kemungkinan untuk mendapat kencing manis Type 2 lebih tinggi selepas bersalin. Selain itu juga, ia juga berisiko menurunkan faktor genetik kepada dan seterusnya bila mereka dewasa kelak”, kata Dr Zulkarnain.

Punca Diabetes
Selain itu, dua faktor lain yang mendorong risiko kepada penyakit diabetes (Type 2) ialah faktor usia. Semakin meningkat usia seseorang, semakin tinggi risiko untuknya mendapat penyakit ini. Oleh itu, langkah penjagaan sejak awal sangat penting bagi mengelakkan daripada risiko penyakit diabetes.

Di samping itu, kes Diabetes Mellitus ini semakin menular disebabkan oleh faktor obesiti yang disebabkan pengambilan makanan yang tidak terkawal. Paras berat badan semestinya ideal dengan menjadikan body mass index (BMI) sebagai rujukan atau panduan. Caranya ialah dengan membahagikan berat badan (kg) dengan ketinggian badan (meter). BMI ini sebolehnya antara 18.5 hingga 22.9.

“Faktor fizikal seperti masalah obesiti juga dikenal pasti sebagai salah satu penyebab diabetes Type. Masalah berat badan berlebihan ini sudah pasti mempunyai hubung kait dengan gaya pemakanan yang berlebihan dan pengambilan lebih kalori daripada yang sepatutnya. Oleh itu, penjagaan makanan dengan mengambil diet yang seimbang serta senaman yang konsisten supaya berat berada pada tahap yang ideal dapat mengurangkan kemungkinan berlakunya kencing manis.

Pengambilan makanan mengikut diet yang betul sangat penting bagi mengawal paras gula di dalam darah. Jika anda sudah mempunyai tanda-tanda diabetes, anda perlu mengawalnya agar tidak menjadi lebih kronik. Ambil langkah segera dengan mengubah gaya hidup lama kepada gaya hidup baru yang lebih sihat”, jelas Dr Zulkarnain lagi.

Antara tanda-tanda kencing manis adalah membuang air kecil dengan kerap (polyuria), minum kerap (polydipsia), kehilangan berat badan, gangguan penglihatan (rabun), jangkitan-jangkitan kulit, kebas-kebas tangan dan kaki.

Sehingga hari ini menurut Dr. Zulkarnain, tidak ada rawatan alternatif yang dapat mengawal penyakit ini (yang dapat dibuktikan dengan randomized controlled trials). Selain ubat-ubatan hospital, hanya pengawalan makanan dan senaman yang mampu untuk mengawal penyakit ini.

Dari segi pemakanan, pesakit diabetes atau mereka yang berisiko mendapat penyakit ini perlu mengehadkan pengambilan karbohidrat dan makanan yang diproses. Namun ini tidak bermakna mereka berhenti mengambilnya secara terus, sebaliknya lakukan secara berperingkat. Pengambilan makanan jenis-jenis lain seperti protein dan lemak dibolehkan seperti biasa tetapi dengan syarat hadkan unsur-unsur makanan yang mengandungi karbohidrat.

Bagi ibu yang menyusukan bayi dengan susu ibu, usah bimbang untuk mengehadkan pengambilan karbohidrat kerana ia tidak menjejaskan penghasilan susu ibu. Ini kerana, apa yang disyorkan adalah ‘hadkan’ bukan berhenti secara terus. Pastikan juga anda bersenam sekerap yang mungkin iaitu tiga hingga lima kali seminggu dan sekurang-kurangnya senaman yang mengeluarkan peluh (secara aerobik) selama setengah jam setiap kali.